Periksa Penapis Udara Perodua Alza Cara Koman

        Penapis udara kereta Perodua Alza merupakan salah satu komponen yang perlu diselenggara secara berjadual seperti syor dari pihak pengeluar. Berdasarkan jadual penyenggaraan di dalam buku panduan pengguna, penapis udara kereta Perodua Alza  hanya perlu digantikan apabila odometer telah mencapai 40000 km. 
            Walaubagaimanapun, penapis udara kereta Perodua Alza perlu diperiksa setiap 5000 km sebagaimana maklumat pada jadual penyenggaraan di dalam buku panduan pengguna. Pada masa pemeriksaan tersebut, penapis udara jika didapati  kotor perlu dibersihkan.Jika kekotoran tersebut tidak dapat dibersihkan, barulah penapis udara tersebut diganti baru. Walaupun penapis  udara yang kotor tidak digantikan, enjin kereta tidak akan bersepai disebabkan pengabaian tersebut. Masaalah yang mungkin timbul hanyalah enjin akan beroperasi tidak lancar.
            Semasa penyenggaraan kereta Perodua Alza kali keempat atau lebih tepat lagi apabila odometer  telah mencapai 20000km, kakitangan pusat serbis mengesyorkan supaya penapis udara digantikan. Biasanya pengguna  bersetuju dengan syor tersebut terutama sekali kepada pengguna kereta Perodua Alza  yang ditawarkan pakej service percuma selama 3 tahun. Oleh kerana  segala kerja-kerja penyenggaraan kereta dilakukan oleh pusat serbis, para pengguna tidak akan meryemak lagi buku panduan pengguna kereta Perodua Alza. Tumpuan hanya diberikan kepada jumlah odometer yang telah dilalui sebelum kereta dihantar ke pusat serbis.
   Pihak pengguna menaruh sepenuh kepercayaan kepada pusat serbis untuk melakukan penyenggaraan tersebut dengan andaian pekerja di pusat serbis terdiri daripada mereka yang benar-benar terlatih, professional dan mempunyai intergriti yang tinggi. Dengan andaian sedemikian, hasil kerja yang dilakukan oleh para pekerja di pusat serbis sudah semestinya dianggap terbaik dan tidak perlu dipertikaikan. 
        Penapis udara Perodua Alza yang diganti semasa penyenggaraan tersebut dikenakan bayaran tertentu dan jumlahnya tercatit dalam bil yang diterima pengguna. Hanya bayaran upah kerja yang dikecualikan.
          Di pusat serbis, pengguna akan ditempatkan di satu tempat yang berasingan sementara menantikan kerja-kerja penyenggaraan selesai dilakukan. Oleh kerana itu, pengguna tidak akan dapat melihat kerja-kerja penyenggaraan tersebut dibuat dengan lebih dekat lagi walaupun terdapat keinginan untuk berbuat demikian.Disamping itu juga, pengguna akan dihidangkan dengan minuman dan makanan secara percuma di tempat menunggu.Dengan adanya makanan dan minuman percuma disediakan, pengguna tiada sebab untuk merungut dengan perkhidmatan yang disediakan.
      Sungguhpun penapis udara telah digantikan semasa  bacaan odometer 20000km, terdapat juga dikalangan pengguna kereta Perodua Alza yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dari aspek kejuruteraan yang akan memeriksa kembali penapis udara tersebut dari masa ke semasa sebagai hobi. Biasanya pemeriksaan akan dilakukan pada odometer 25000km kerana penyenggaraan yang berikutnya oleh pusat serbis adalah pada odometer 30000km. Pemeriksaan penapis udara sangatlah mudah dan boleh dilakukan berdasarkan  panduan  berikut:

1.Buka 6 klip penutup kotak penapis udara. Ketepikan penutup kotak penapis udara ke tempat yang bersesuaian.

kotak penapis udara Alza
2.Keluarkan penapis udara dari kotak penapis udara.Periksa keadaan penapis udara tersebut.Bersihkan penapis udara tersebut jika kotor.

penapis udara Alza
3.Untuk membersihkannya,sembur penapis udara dengan udara mampat dari berlawanan dengan arah angin masuk ke dalam intake manifold. Seterusnya sembur pula penapis udara dari arah angin masuk.Tekanan udara mampat hendaklah dikawal untuk mengelakkan penapis udara mengalami kerosakan.Gunakan alat perlindungan keselamatan semasa menyembur penapis udara.Kotoran dari penapis udara boleh membahayakan kesihatan.


arah semburan
4.Halakan penapis udara tersebut kearah matahari. Jika penapis udara dalam keadaan bersih, cahaya matahari akan dapat dilihat menembusinya. 


penapis udara baru
5.Jika cahaya matahari tidak dapat menembusinya, penapis udara tersebut perlu diganti baru.

keadaan penapis udara selepas 5000km
6.Bandingkan penapis udara baru dan yang lama untuk melihat perbezaannya.


atas 0 km, bawah 5000km
7.Jika penapis udara sedia ada tidak dapat dibersihkan lagi, penapis udara tersebut perlu diganti baru dan seterusnya dipasang ke dalam kotak penapis udara. Setelah penapis udara dimasukkan ke dalam kotak penapis udara, pasang kembali penutup kotak penapis udara.Sesudah itu pasang klip penutup kotak penapis udara.

      Gambar penapis udara yang kotor di atas merupakan penapis udara yang telah digantikan semasa 20000km.Walaupun telah digantikan semasa  20000km, pemeriksaan yang dilakukan semasa 25000km mendapati penapis udara tersebut sangat kotor  dan perlu digantikan. Selepas digunakan selama  5000km  didapati penapis udara  menjadi sangat kotor. Perkara ini, secara tidak lansung menunjukkan keadaan udara persekitaran yang perlu diberi perhatian oleh pengguna kereta Perodua Alza. 
        Dari segi pemanduan biasa, penapis udara menjadi sangat kotor dan perlu diganti setelah digunakan selama 5000km merupakan sesuatu yang luarbiasa dan tidak masuk akal. Walaubagaimanapun perkara tersebut tidaklah perlu dipertikaikan kerana terdapat pelbagai faktor yang mungkin menyebabkan berlakunya perkara tersebut.. Dengan bukti nyata seperti gambar diatas, maklumat dari buku panduan pengguna supaya penapis udara Perodua Alza diperiksa setiap 5000km adalah amat tepat sekali. 
        Jadual penyenggaraan kereta Perodua Alza disediakan berdasarkan ujian kereta Daihatsu di persekitaran negara Jepun yang mungkin mempunyai udara  lebih bersih. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika didalam jadual penyenggaraan buku panduan pengguna disyorkan supaya penapis udara digantikan ketika 40000km. 
   Pengguna  kereta Perodua Alza perlu memahami maksud perkataan dijadual penyenggaraan di dalam buku panduan pengguna. Ini adalah kerana perbezaan maksud  di antara perkataan memeriksa dan menggantikan adalah sangat besar. Sekiranya perkataan memeriksa digunakan belum tentu ada beban kewangan terlibat tetapi jika perkataan menggantikan digunakan sudah tentu ada beban kewangan terlibat. Walaubagaimnanapun, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan pengguna untuk menentukan yang terbaik kepada mereka dengan mengambil ikhtibar daripada kata-kata popular   Abraham Lincoln seperti berikut,
"You can fool all the people some of the time, and some of the people all the time, but you cannot fool all the people all the time"


No comments:

Post a Comment

Mengenali Jet Karburetor Enjin Sangkut Cara Koman

  Enjin sangkut memerlukan campuran udara dan bahanapi untuk menghasilkan proses pembakaran. Udara dan bahanapi perlu dicampur pada nisbah y...