Buku teks, buku nota, bekas pensel,
bekal makanan. Siap. Kumasukkan barang-barangku satu per satu ke dalam beg
sandang dan akhir sekali, kusisipkan telefon bimbit, kunci rumah dan dompet ke
dalam poket seluar. Kususun langkah menuju ke pintu apartment di mana buat
pertama kalinya aku seorang anak Melayu, seorang gadis meningkat dewasa
bergelar pelajar di University of Vienna, Vienna, Austria. Saat pintu di buka
wusshh!!! Laju angin musim luruh menyapa muka, membekukan hidung. Cepat-cepat
aku ketatkan ikatan mafela dan merapatkan kot ke tubuh untuk memanaskan badan.
Rambutku yang panjang hanya disanggul ala kadar, cukup sekadar tidak mengerbang
ditiup angin.Setelah pakaianku dikemaskan, aku melangkah keluar keluar menuju
ke tempat di mana dalam masa lima tahun lima bulan aku bakal mencapai impianku
untuk bergelar seorang doktor,semangat berkobar-kobar dan yakin.
Perjalanan
ke University of Vienna mengambil masa 30 minit jika menggunakan perkhidmatan
kereta api. Saat aku mengambil tempat duduk, seorang gadis Eropah bertudung
biru melangkah masuk di dalam gerabak kereta api yang penuh. Sayang sekali tiada
tempat duduk ditawarkan untuknya dan seperti golongan minoriti muslim Eropah
yang lain, dipinggirkan oleh orang-orang disekelilingnya.”Mein freund,” aku
memanggilnya sambil menepuk-nepuk tempat kosong di sebelahku. Ternyata dia
menerima pelawaanku dan lega apabila dapat melabuhkan punggungnya. “Danke,”
jawabnya dalam bahasa Jerman. “Bitte,” balasku, juga dalam bahasa Jerman. Buat
seketika ruang antara kami hanya diisi sepi. Lantas dia mengeluarkan sebuah
al-Quran mini dari tas tangannya dan mula mengaji. Aku cam ayat yang dialunkannya.’Surah
Luqman,’ aku menyebut dalam hati, lansung turut serta dalam bacaannya. Tiba-tiba
bacaannya terhenti. “Sie sind ein Moslem?” laju
pertanyaan itu keluar dari bibirnya disertai riak kurang percaya yang
terukir diwajahnya. Belum sempat aku menjawab, satu pengumuman menandakan
kereta api telah sampai ke University of Vienna berkumandang.Cepat-cepat aku
meninggalkannya,membiarkan pertanyaannya tidak bersambut.Hanya pandangan
matanya sahaja yang mengekori aku keluar dari kereta api.
“Mengapa
aku lari darinya? Adakah kenyataan itu terlalu pahit untuk ditelan atau aku
terlalu sombong untuk menjawab pertannyaanya?’ Bertubi-tubi soalan menghentam
kepala sejak aku turun dari kereta api sehinggakan aku kurang fokus di dalam
kelas.Hatta sewaktu menjamu selera di kafe pun kepalaku masih diasak oleh
soalan yang sama.”Assalamualaikum” satu suara menegur memberi salam. Gadis
bertudung biru itu lagi.kali ini dia tersenyum kecil. “Boleh aku menyertaimu
minum di kafe ini?” tanyanya, kini dalam bahasa Inggeris.Aku menggangguk. Dia
memanggil pelayan dan memesan minuman. Seraya dia bertanya, “Kamu memang lahir
sebagai Muslim?”. Angguk. “Mengapa tidak …..” “Memakai tudung? Sakit kepala”
pintasku. “Tapi itu kewajipan” dia membalas kurang puas hati. Aku merenung
tajam, gigiku digetapkan. Bertudung hak aku. Biarlah rambut panjang lagi hitam
ini mengerbang ditiup angin asalkan kepalaku tidak berbungkus panas sakit
kepala.”Kewajipanmu yang lain?” Soalnya lagi. “Aku tunaikan.” aku merengus.
“Lihat sini, aku juga sama muslim sama sepertimu.Solat, puasa,melakukan
kebaikan dam macam-macam lagi. Pandangan kau seperti kau melayakkan wanita
muslim berhijab sahaja yang layak melakukan kebaikan.Hipokrit!” Aku
menghamburkan perasaanku kepadanya. Dia terkebil-kebil memandangku lalu
tertunduk. Sedih barangkali tetapi aku tidak peduli. Dia meraba-raba tas
tangannya lalu mengeluarkan seuatu dan meletakkannya di atas meja. Spontan aku
mengambilnya. Sekeping kad nama tertulis Noorul Hidaya. Kuulangi namanya dalam
hati. Apabila aku mengangkat muka, dia telah pergi.
Hari
demi hari berlalu. Saban hari aku bertemu Noorul Hidaya yang juga pelajar
University of Vienna tetapi pertemuan kami sentiasa membangkitkan isu kewajipan
seorang muslimah. Kami bagai anjing dengan kucing, minyak dengan air. Bagiku,
ini cara hidupku. Ditambah lagi kesibukan sebagai seorang pelajar membuatkan
aku tiada masa untuk melakukan kewajipan yang satu. Satu demi satu ibadahku
tinggalkan semata-mata ingin mengejar impian bergelar doktor. Mataku sudah
kabur dengan akhirat, yang celik hanya dunia. Ibu bapaku juga begitu, kewajipan
yang satu adalah dunia. Dek didikan itulah aku tegar sekali mematahkan
hujahnya. Dan di cuti musim panas ini, aku berharap dapat melupakan
pertelingkahan aku dengan Noorul Hidaya dengan mengikuti lawatan ke Turki dan
Sepanyol.
Saat
bas kami sampai di Turki, aku terpegun dengan kecantikannya yang menggabungkan
keunikan budaya Eropah dan Asia. Masjid-masjid peniggalan Empayar Turki
Uthmaniyah yang bertahan selama lebih 600 tahun masih lagi gah berdiri walaupun
empayarnya telah lama musnah. Masjid Suleymaniye hasil tangan Mimar Sinan,
arkitek agung Empayar Turki Uthmaniyah di bawah pemerintahan Sultan Suleiman
yang hebat berdiri megah di ibu kota Turki, Istanbul. Tetapi yang lebih mencuri
perhatianku adalah Hagia Sophia. Entah kenapa hatiku tergerak untuk melihatnya.
Sebaik sahaja aku melangkah masuk, barang-barang orang Kristian dan Muslim Turki
terpamer di kiri kanan. Di kubah muzium terbentang lukisan Nabi Isa a.s bersama
ibunya, Maryam. Kuangkat brosur ditangan
yang kuambil seraya membaca sejarahnya. Sebuah gereja Empayar Byzantine, Hagia Sophia
yang bererti Wisdom of God telah bertukar menjadi masjid setelah Constantinople,
kini Istanbul ditakluk oleh Sultan Mehmed II. Kini Hagia Sophia telah dijadikan
muzium. Masjid, aku berbisik perlahan lalu meligas mataku mencari kalimah yang
sering menghiasi masjid. Dan nun jauh di atas sana, di bawah lukisan Nabi Isa
a.s, tulisan Allah dan Muhammad beserta nama empat orang Khulafa’ Ar-Rashidin
menghiasi tiang masjid. Tiada tuhan melainkan Allah, aku berbisik perlahan
diselangi air mata bercucuran.
Perjalanan
kami diteruskan lagi,kali ini menuju ke Sepanyol. Dalam perjalanan aku asyik
memikirkan hanya kerana menginginkan kemodenan Bapa Turki, Mustafa Kemal
At-Tartuk sanggup mengenepikan agama sehingga membawa kemusnahan Empayar Turki
Uthmaniyah. Perjuangan selama beratus-ratus tahun yang dilakukan oleh sultan- sultan
terdahulu untuk menyebarkan Islam hanya hilang begitu sahaja tanpa dikenang.
Kufur nikmat, fikirku tetapi bukankah aku juga begitu? Mengaku muslim tetapi
gaya hidupku tidak mencerminkan ciri-ciri keperibadian seorang muslim. Dalam lamunan panjang, bas
terhenti di suatu tempat. Cordoba, tulis satu papan tanda. Bagaikan direnjat
elektrik, aku turun dari bas. Sambil berlari-lari anak mataku meligas mencari
tempat itu, sebuah gereja yang kutemukan di internet, La Mezquita-Catedral de
Cordoba. ‘Tolonglah ya Allah’ aku berdoa dalam hati, ‘janganlah kau benarkan
apa yang aku baca di internet itu.’ Dengan langkah yang menggeletar aku masuk
ke dalam gereja itu yang sedia sesak dengan pelancong. Walaupun bergelar
gereja, ciri-cirinya binaan jelas menunjukkan bahawa pada suatu masa dahulu
bangunan ini merupakan sebuah masjid. Mihrab, ruang solat dan binaan yang lain
masih lagi terpelihara. Apa yang mengejutkan aku adalah sisa-sisa kaligrafi
tulisan al-Quran pada dinding masjid terukir kabur, tanda telah dimusnahkan
daripada rupa asalnya. Hanya beberapa kaligrafi sahaja yang masih kekal tidak
terusik. Di suatu sudut terpamer patung
Nabi Isa a.s disalib. Di ruang masjid yang penuh sesak dengan pengunjung
ini,aku terasa begitu tidak berdaya. Aku sujud dan menangis semahu-mahunya
mengenang masjid suci ini yang telah bertukar rupa,tidak seperti Hagia Sophia
yang dibenarkan untuk kekal berdiri walaupun terdapat kontra pertembungan dua
agama yang berbeza. Hilang sudah seri asal masjid ini daripada apa yang
digambarkan oleh Muhammad Iqbal, penyajak kebanggaan Pakistan dalam puisinya
akan keagungan masjid ini. Tetapi tindakanku mengundang padah apabila aku
dihalau keluar daripada pengawal gereja. “Tidak , pergi biarkan aku!” aku
meronta tetapi permintaanku tidak dihiraukan malah aku diheretkan keluar. Aku
terpempan. Cordoba, ibu kota kebanggaan Bani Umayyah, mengapa jadi begini?
Kini,
aku di dalam tandas di Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Bayanganku di dalam cermin berbanding lima tahun dahulu sewaktu aku pertama
kali menjejakkan kaki di atas bumi Austria ternyata jauh berbeza. Aku bersyukur
ditemukan dengan Noorul Hidaya, Hagia Sophia dan Cordoba. Aku kini lebih
mengerti,sebagai seorang muslim yang menghargai hidupnya. Hadis Rasulullah
s.a.w mengatakan hidup kita ini bagai pengembara, begitu singkat di Bumi ini
yang hanyalah sebuah tempat persinggahan. Gunakanlah masa yang sebaik-baiknya
untuk menghambakan diri kepadanya. Kubetulkan tudung di kepala, bersedia untuk
melangkah ke dunia baru, halaman baru kisah hidupku sebagai seorang muslimah.