Perubahan cuaca membawa kepada keadaan cuaca yang tidak menentu dan boleh berlaku banjir jika hujan turun dengan tidak berhenti. Apabila kereta ditenggelami banjir kemungkinan kereta itu tenggelam selama beberapa hari atau minggu . Kejadian tersebut boleh menjejaskan komponen dalaman kereta seperti sistem elektrik, sistem elektronik dan sistem mekanikal kereta dengan teruk. Lebih malang lagi jika kereta itu ditenggelami oleh banjir air masin. Walaupun kereta terkena sedikit sahaja banjir air masin tetapi faktor tersebut masih boleh menyebabkan berlaku kerosakan paling teruk kepada kereta.
Air garam yang bersifat menghakis
boleh meresap ke dalam rongga-rongga casis kereta
dan menyebabkan berlaku pengaratan yang mungkin tidak dapat dilihat atau
tersembunyi. Apabila kesan pengaratan itu dijumpai kemungkinan keadaan fizikal kereta
sudah berada dalam keadaan terlalu uzur untuk dibaiki. Pendawaian sistem elektrik
dan elektronik kereta juga mudah rosak jika ditenggelemi air masin. Dawai
tembaga menjadi reput disebabkan air garam yang terkumpul di dalam penebat
wayar. Kereta masih boleh digunakan semula selepas dibaiki tetapi
berkemungkinan besar akan mengalami masalah secara berterusan. Kos pembaikan
yang dikeluarkan dijangka melebihi harga semasa kereta jika masaalah yang sama
masih berulang.
Kereta yang ditenggelami
air tawar mempunyai risiko yang lebih rendah jika dibandingkan kereta yang ditenggelami
air masin. Air tawar tidak bersifat menghakis seperti air masin dan peluang
untuk membaiki kereta yang terperangkap dalam banjir air tawar adalah lebih
cerah.
Sistem perlindungan seperti
fius yang dipasang di dalam kereta mampu untuk memberi perlindungan walaupun
kereta ditenggelami air . Jika berlaku litar pintas semasa kereta tenggelam,
fius akan terputus dan dapat mengelakkan
kerosakan yang lebih teruk pada kereta. Bateri kereta yang tenggelam akan rosak
juga disebabkan litar pintas walaupun battery
clamp ditanggalkan. Air sebagai bahan pengalir akan menghubungkan terminal
positif dan terminal negative bateri apabila kereta tenggelam.
Ini adalah panduan asas pembaikan untuk kereta-kereta yang dikategori kereta mampu milik dan boleh dilakukan secara DIY. Untuk kereta-kereta mewah lebih baik pembaikan dilakukan oleh pakar kerana melibatkan sistem-sistem di dalam kereta yang berteknoloji tinggi. Berikut ialah senarai perkara yang perlu diperiksa dan diselenggara jika kereta teperangkap dalam banjir :
1. Jangan cuba menghidupkan enjin kereta yang telah ditenggelami banjir. Enjin yang dimasuki air boleh menyebabkan keadaan dikenali sebagai hydro lock di dalam selinder. Enjin boleh rosak jika enjin dihidupkan. Oleh kerana air tidak boleh dimampatkan, cubaan untuk menghidupkan enjin boleh menyebabkan con-rod menjadi bengkok .
2. Keluarkan engine oil dari oil pan. Engine oil yang telah bercampur dengan air akan bertukar warna menjadi seakan-akan warna susu.
3. Tanggalkan palam pencucuh dan pusingkan enjin dengan tangan melalui crank pulley untuk memaksa air keluar dari silinder. Sembur dengan udara mampat ke dalam lubang palam pencucuh .
4. Masukkan engine oil yang berharga murah ke dalam oil pan untuk memaksa saki baki engine oil keluar (flush)dan gantikan oil filter.
5. Periksa paras minyak gearbox dan gantikan minyak gearbox jika perlu. Pada kebiasaan gearbox manual mempunyai air vent sebagai saluran udara masuk dan keluar. Saluran air vent itu boleh menyebabkan air masuk apabila gearbox tenggelam. Kemungkinan clutch plate melekat tetap ada.
6. Minyak gear pada gearbox automatik lebih baik dibuat flushing keseluruhan minyak yang ada di dalam gearbox. Jika hanya dikeluarkan dari gearbox oil pan kemungkinan sisa minyak yang bercampur dengan air masih tertinggal di dalam torque converter. Proses flushing perlu dilakukan beberapa kali untuk memastikan gearbox automatik bersih.
7.Ganti minyak brek dan minyak sistem steering kuasa. Minyak brek yang ditenggelami air tidak dapat menahan suhu panas dan boleh menyebabkan kehilangan kuasa semasa menekan brek. Buat flushing keseluruhan sistem brek dan sistem stereng kuasa dengan menggunakan minyak yang baharu.
8. Keringkan kereta dengan menanggalkan tempat duduk dan permaidani. Gunakan penyedut vakum untuk mengeluarkan sisa-sisa lumpur yang tertinggal . Periksa setiap sudut dan celah untuk untuk memastikan air telah kering. Letakkan kereta di luar dalam keadaan pintu dan tingkap terbuka di bawah cahaya matahari.
9. Tanggalkan semua penyambung sistem elektrik dan elektronik untuk Engine Control Unit, sensor-sensor, fius dan relay. Keringkan penyambung tersebut dengan menggunakan pengering rambut. Sembur dengan contact cleaner jika perlu. Keringkan alternator dan starter motor. Bilangan ECU di dalam kereta mampu milik adalah tidak banyak dan di antara yang dipasang adalah engine ECU, gearbox ECU, immoliser ECU, ABS ECU dan alarm ECU. Walaubagaimanapun terdapat kereta-kereta mewah yang dipasang ECU dengan kuantiti yang sangat banyak sehingga mencecah 70 unit dan menyukarkan penyelenggaraan dilakukan secara DIY.
10. Minyak petrol yang berada didalam tangki perlu dikeluarkan jika tangki minyak sudah dimasuki air. Tangki minyak perlu dibersihkan untuk mengeluarkan keladak yang berada di dalam tangki terutama jika kereta ditenggelami banjir air berlumpur. Sisa minyak petrol yang dikeluarkan dari tangki perlu dilupuskan dengan tatacara yang betul untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar.
Pada kesimpulannya, proses membaiki kereta yang mengalami kerosakan
disebabkan banjir adalah satu ikhtiar yang tidak menjanjikan keputusan sebagaimana
yang diharapkan. Ikhtiar tersebut perlu dibuat dengan teliti dan sabar untuk
mengelakkan rasa kecewa jika pembaikan tersebut tidak berjaya dibaik pulih sepenuhnya.
Dalam situasi ini , masa adalah satu elemen yang sangat penting. Lebih cepat
kereta dikeluarkan dari ditenggelami banjir dan dikeringkan dengan secepat mungkin akan memberi peluang terbaik untuk berjaya menyelamatkan kereta
tersebut.
Terbaik tuan sudah lama tak berkarya di blog
ReplyDelete